Bagi para mujahid yang berjuang dan berjihad pada jalan Allah, mereka tidak diberikan mukjizat seperti mana para anbiya’ dan para rasul. Akan tetapi mereka dibantu oleh Allah dengan ma’unah (pertolongan) dan karamah (kemuliaan). Ma’unah dan karamah yang dianugerahi Allah kepada mereka membuktikan kebenaran dakwan dan perjuangan mereka.
Berikut adalah petikan beberapa kisah yang menakjubkan yang dialami oleh pejuang Islam di Palestin seperti yang dirakamkan di dalam buku Nostalgia Syuhada' Palestin- Ibnu Ismail).
1. AIR PENGHILANG DAHAGA
Salah seorang yang dihalau oleh tentera Yahudi ke kawasan pergunungan yang kering kontang memberitahu, suatu ketika beliau dalam keadaan yang sangat dahaga dan letih. Sampai di suatu tahap, beliau sudah tidak berdaya lagi untuk terus melangkah dan bayangan maut sudah mula bermain di benak fikirannya. Keletihan yang amat sangat menyebabkan beliau terlena buat beberapa ketika.
Sebaik terjaga daripada tidur, didapati di sebelahnya ada semangkuk air. Beliau lantas meminum air tersebut hingga hilang hausnya. Itulah pertolongan daripada Allah kepada hambanya yang berjuang pada jalan-Nya. Allahu Akbar!.
2. BERJAYA KELUAR DARIPADA KUBUR
Di dalam rentetan sejarah penjajahan Yahudi ke atas bumi Palestin seperti yang dicatatkan di dalam buku Hadhir Al-‘Alamil Islami – Amal wa Alam mengisahkan pada 15 Februari 1988, empat orang pejuang telah dikuburkan hidup-hidup oleh pasukan tentera rejim Israel. Kekejaman tentera Yahudi itu amat nyata sekali apabila mereka mengambus keempat-empat pejuang itu dengan menggunakan jentolak (buldozer). Namun dengan kuasa Allah setelah tentera Yahudi itu meninggalkan tempat berkenaan. Keempat-empat pejuang ini berjaya keluar daripada ‘kubur’ mereka dengan selamat.
3. KARAMAH AS-SYAHID MAZIN REZQ
Ketika jenazah mazin dibawa ke rumahnya terpancar bau harum semerbak bak kasturi. Orang ramai dibenarkan untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum dikebumikan. Antara yang turut sama ialah ibunya. Sambil memerhatikan wajah anaknya, si ibu berkata, “Berbahagialah engkau dengan anugerah syahid yang engkau terima wahai anak kesayangan ku.”
Tanpa disangka-sangka, semua yang hadir dengan jelas dapat melihat Mazin membuka matanya sambil menguntumkan senyuman.
Sementara ibu kepada seorang lagi pejuang Izzuddin Al Qassam, iaitu Suhail bermimpi bertemu anaknya bersama Mazin lalu mereka memberitahunya bahawa mereka sentiasa menunaikan solat Fardhu Isyak setiap hari di syurga Firdaus.
Seorang lagi ibu kepada seorang sahabatnya memberitahu bahawa dia bermimpi melihat Mazin berwasiat kepada ibu, ayah, adik beradik dan saudara-maranya supaya jangan menangisi pemergiannya, kerana dia kini berada di dalam syurga bersama-sama para syuhada’ yang lain.
4. KARAMAH AS-SYAHID HANI RAWAJIBAH
Suatu malam, seorang ibu merintih seorang diri selepas terbunuhnya anaknya, Hani Rawajibah. Antara rintihan beliau, “Aduhai anak ku, di mana engkau kini. Engkau sering menghilangkan diri… sebulan… dua bulan. Kemudian engkau kembali… dan kini engkau terus menghilang.” Tidak ada sesiapa yang mendengar rintihan si ibu yang sedih ini. Setelah lama melayan perasaan, akhirnya beliau tertidur dan di dalam tidurnya beliau bermimpin bertemu anaknya.
“Apa yang ibu rintihkan! Aku tidak pernah berjauhan daripada mu, ibu. Kalian sentiasa dalam ingatan ku… dan aku di sini, di dalam syurga dalam keadaan yang paling baik…” ujar si anak yang telah pun mati syahid. Lalu si ibu yang kehairanan bertanya, “Siapa yang menceritakan kepada mu tentang rintihan ku, sedangkan demi Allah tidak ada sesiapapun yang mendengarnya.”
Anaknya menjawab, “Sesungguhnya aku mendengar ibu berkata begini dan begini (dengan menyebut satu-persatu apa yang diungkapkan ibunya sebelum tidur).”
Nama Iwadh Saleh Silmi memang tidak asing lagi bagi pejuang-pejuang Islam di Palestin. Beliau terkenal sebagai seorang yang licik dan banyak menumpaskan pihak musuh dengan kepakarannya memasang jerangkap samar.
Iwadh, anak kelahiran akhir tahun 60 an sudah berumahtangga dan mempunyai lima orang anak. Mereka ialah Islam, 8 tahun, Isra’ (7), Mujahid (5), Iman (4) dan Hindun yang baru berusia setahun setengah ketika ayahnya mati syahid.
Di zaman kanak-kanaknya, Iwadh belajar di beberapa buah sekolah di Ghaza. Apa yang menarik, beliau menamatkan pengajian di peringkat menengah ketika berada di dalam tahanan. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di Kuliah Usuluddin, Universiti Islam.
Menurut isterinya, Iwadh adalah seorang yang berakhlak tinggi. Beliau sangat baik terhadap ibu bapa dan ahli keluarganya. Hubungan sesama mereka sangat mesra. Iwadh juga terkenal sebagai seorang yang rajin ke masjid, terutamanya Masjid Salahuddin yang terletak berhampiran rumahnya di Hayyu Zaitun. Di samping itu beliau kerap mengunjungi Baitul Maqdis dan sangat suka bergambar di sisi Masjidil Aqsa.
Siri penangkapan ke atasnya bermula seawal usia 14 tahun kerana melontar batu ke arah musuh. Beliau seterusnya ditangkap kali kedua dan dipenjarakan selama empat tahun. Setelah dibebaskan beberapa ketika, beliau ditangkap sekali lagi. Tangkapan demi tangkapan yang dilakukan ke atasnya menambahkan lagi semangat untuk terus berjuang.
Secara rasmi, beliau menyertai Kata’ib Al Qassam pada tahun 1992. Iwadh menerima latihan secara langsung daripada Imad Aqal yang syahid pada 24/11/1993. Di waktu yang sama beliau adalah pembantu yang rapat dengan Yasir An Nimruti (syahid 15/7/1992).
Dalam waktu yang singkat, Iwadh sudah menjadi seorang penembak yang cekap dan pandai pasang jerangkap samar. Mungkin disebabkan hubungan beliau yang rapat dengan Yahya Ayyash (syahid 1996) dan Kamal Kahil.
Pada tahun 1993, nama beliau mula tersenarai di kalangan orang-orang yang dikehendaki oleh rejim. Iwadh tidak mempedulikan segala ancaman. Beliau terus aktif bersama kumpulannya menggerakkan operasi ke atas kedudukan tentera Yahudi. Tidak kurang daripada 20 operasi berjaya dilakukan olehnya.
Paling masyhur ialah operasi menuntut bela di atas pembunuhan Imad Aqal. Ia dilakukan pada awal Disember 1993. Dalam operasi berkenaan, Iwadh berjaya membunuh ramai askar Yahudi mati termasuk seorang yang berpangkat kolonel. Beliau adalah ketua angkatan bersenjata Yahudi di seluruh kawasan Semenanjung Ghaza. Beliaulah yang mengarahkan pembunuhan ke atas Imad Aqal pada 24/11/1993. Apa yang menarik, Kolonel itu dibunuh oleh Iwadh dengan senjata M 15 yang diwarisi daripada Imad Aqal.
Iwadh turut terlibat dalam satu operasi di Ghaza yang menyebabkan dua pegawai tinggi askar Israel terbunuh. Begitu juga dengan Operasi Masjid Al Abbas, ramai tentera yang berkawal berdekatan masjid berkenaan terbunuh cedera. Di Jalan Omar Mokhtar, Iwadh melakukan satu serangan yang menyebabkan ramai tentera Yahudi mati dan cedera.
SYAHID
Menurut isterinya, pada hari kesyahidannya (2/12/2000), Iwadh tidak tidur sepanjang malam. Beliau menghidupkan malam Ramadhan itu dengan membaca Al Qur’an dan berzikir hingga menjelang dinihari. Selepas menjamah hidangan sahur, Iwadh pergi menunaikan solat Fardhu Subuh dan kemudiannya menukar pakaian. Sebelum keluar rumah beliau sempat melemparkan pandangan terakhir kepada anak-anaknya.
Beliau keluar rumah dengan tujuan untuk memasang jerangkap samar. Selepas itu beliau tidak pulang ke rumah. Setelah dua hari berlalu, orang ramai menemui jasadnya yang sudah tidak bernyawa. Ada yang berpendapat Iwadh terbunuh kerana bom yang dibawanya meletup. Namun beberapa hari selepas peristiwa berkenaan, Hamas mengisytiharkan kemungkinan Iwadh dibunuh oleh tentera Yahudi secara rahsia.
Walaupun terbunuh, namun Iwadh telah berjaya dalam operasinya. Penduduk berhampiran berkata, mereka mendengar bunyi letupan yang memusnahkan sepasukan tentera Yahudi yang melalui kawasan yang dipasang jerangkap samar oleh Iwadh.
Dalam perhimpunan memperingati As-Syahid Iwadh, Hamas mengisytiharkan bahawa kematian beliau tidak akan mematikan jihad dan intifadhah. Mereka akan terus berjuang sehingga pihak musuh terpaksa ‘minum dengan menggunakan gelas yang dipaksakan ke atas bangsa Palestin.’
(Petikan dari buku Nostalgia Syuhada' Palestin- Ibnu Ismail)